Kata Fadheelat asy-Syaikh Masyhuur bin Hasan – semoga Allaah pelihara beliau dalam PemeliharaanNya:
Soalan ini seringkali ditanyakan, sehingga saya terpaksa menjelaskannya dengan panjang lebar,
Insyaa Allaah, semoga ia bermanfaat untuk semua dalam melaksanakan Puasa bulan Syawwaal.
Seseorang bertanya: Apakah hukum hadis: “لا تصوموا السَّبت إلا فيما افترض عليكم – Jangan kalian puasa pada hari Sabtu kecuali puasa yang diwajibkan ke atas kalian”?
saya mohon diberikan penjelasan yang terperinci.
Puasa hari Sabtu adalah satu permasalahan yang banyak dipersoalkan dan bila kami ditanya mengenainya kami tetap memberikan jawapannya.
Kami sedia maklum dan mengakui bahawa perkara ini ada perselisihan ‘Ulama padanya.
Orang yang dikurniakan petunjuk dari kalangan kaum muslimin adalah orang yang mengambil kira dan berlapang dada pada perkara Khilaf/perselisihan dan berlapang dada dalam perselisihan pendapat adalah dari tanda-tanda orang yang diberi petunjuk.
Hukum puasa hari Sabtu, perselisihan mengenainya bukanlah baru malah ia suatu perselisihan yang telah lama ada sejak dahulu lagi.
Syaikhul Islaam Ibn Taimiyah telah menukilkan dalam “Iqtidhaa’ as-Shiraat al-Mustaqeem” daripada segolongan murid Imam Ahmad (bin Hambal)
bahawa beliau mengharamkan Puasa Sabtu dan al-Imam ath-Thahaawi juga telah menyebutkannya dalam kitabnya “Syarh Ma‘aani al-Aatsaar”
serta begitu juga Ibn Rusyd dalam kitabnya: “Bidaayat al-Mujtahid”
bahawa Puasa yang terlarang ada 2 bahagian;
yang terlarang dengan kesepakatan ‘ulama dan yang diperselisihkan
beliau contohkan bagi yang diperselisihkan dengan Puasa hari Sabtu.
Maka nukilan-nukilan ini daripada golongan Ahli Ilmu yang terkenal ini –
dari zaman dan daerah yang berbeza-beza –
cukup menjadi hujjah yang jitu bahawa perselisihan mengenai Puasa Sabtu telah lama ada.
Seseorang yang ingin berpuasa Puasa 6 dalam bulan Syawwaal, mengapa perlu ia mempersulitkan perkara ini?! Elakkan sahaja hari Sabtu.
Saya sungguh pelik dengan seseorang yang berpesan kepada orang kebanyakan
dari mula lagi ia katakan:
Puasa sajalah pada Hari Sabtu!!
Adapun saya secara peribadi, demi Allaah,
ketikamana saya berhadapan dengan satu hadis,
saya merasakan bahawa Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam telah berbicara langsung kepada saya
dan hadis itu adalah hujjah yang tegak berdiri pada zatnya sendiri dan tidak pula dikatakan:
“jika ‘ulama mengeluarkan pendapat berdasarkan padanya maka barulah ia menjadi hujjah
dan jika ‘ulama tidak berhukum dengannya maka ia tidak menjadi hujjah sama sekali.
Akan tetapi – tanpa diragukan – kita dengan kelemahan penguasaan Bahasa (Arab) kita –
kita memohon kepada Allaah kesejahteraan dari keadaan-keadaan kita yang buruk –
meneliti dan berpandukan pemahaman ‘ulama.
Hadis: “لا تصوموا السَّبت – Jangan kalian berpuasa pada hari Sabtu” adalah hadis periwayatan ‘Abdullaah bin Busrin
ataupun saudara perempuannya ash-Shommaa’ (binti Busrin al-Maaziniyah)
terdapat padanya “Idhtiraab” di antara para perawi
dan bilamana riwayat hadis itu bersekitar pada antara 2 Sahabat (‘Abdullah atau saudara perempuannya),
maka ia tidak menjadi ‘illah (faktor penyebab) kelemahan hadis dan tidak dihukumkan dho‘ief (lemah).
Jalan-jalan periwayatannya juga ada perselisihan di kalangan para Ahli hadis yang menyebutkannya.
Ada yang menyebutkannya daripada Ibn ‘Abaas
dan yang lain pula menyebutkannya daripada Ibn ‘Umar.
kekal perselisihan itu dalam perkara tersebut.
Maka asal (riwayat) hadis ini tidak dihukumkan lemah.
Hadis ini telah dihukumkan sahih segolongan daripada ahli ilmu
di antara mereka adalah: Ibn Mulaqqin dalam “Tuhfat al-Muhtaaj” dan lainnya.
Maka hadis ini daripada sudut keberadaannya sebagai hadis Nabi adalah sebuah hadis yang tsabit.
Hadisnya juga bukan setakat: “لا تصوموا السَّبت – Jangan kalian berpuasa pada hari Sabtu” malah padanya terdapat penegasan lain,
yang mana Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: “فمَن لم يجد إلا لحاء عنبة أو جذع شجرة فليمضُغها –
maka sesiapa yang tidak mendapatkan kecuali kulit (bahasa Inggeris: bark) pokok anggur atau batang pokok (tree trunk)
hendaklah ia menguyahnya (sebagai makanan agar tidak berpuasa)” dan tidak dikira pemahaman yang jauh…
sebagaimana kita diajarkan dan dididik oleh Tuhan kita agar kita beribadah kepadaNya dengan berpuasa,
kita juga diajar dan dididik olehNya supaya beribadah kepadaNya dengan memakan makanan (tidak berpuasa) seperti pada Hari-hari Tasyrieq, kedua-dua Hari Raya.
Maka puasa terlarang pada hari Sabtu kecuali yang difardhukan (Puasa wajib).
Pada perkara ini, ada sebahagian ikhwah kita terkeliru dan tidak perhatikan dengan baik-baik,
iaitu bukannya diperbolehkan Puasa hari Sabtu hanya pada Puasa Ramadhan, malah (pesanan Nabi) adalah “إلا فيما افتُرض عليكم –
kecuali apa yang diwajibkan ke atas kalian”,
maka wanita yang melakukan Qadha’ boleh puasa hari Sabtu, sebab Qadha’nya itu wajib/fardhu,
orang yang melakukan puasa kaffaarah penebus sumpahnya pun boleh puasa hari Sabtu, sebab kaffaarah penebus sumpahan adalah fardhu/wajib.
Begitu pula orang yang melakukan puasa (bayar) nadzar, ia boleh puasa hari Sabtu dan juga yang tunaikan kaffaarah (secara umumnya – selain sumpahan).
Tidakkah ada dalam permasalahan Puasa hari Sabtu, hadis-hadis lain yang memberi petunjuk bahawa ia diperbolehkan?
Ya ada.
Misalnya: Tidakkah Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam galakkan puasa “Aiyaam al-Baidh” (Hari-hari putih; 13, 14 dan 15hb setiap bulan Hijrah ketika malamnya bulan purnama penuh mengambang)?
Ya. Saya seringkali mengingatkan bahawa penimba ilmu sayugianya teliti
kerana (Nabi galakkan puasa) “Aiyaam al-Baidh” dan tidak menyebutnya: “al-Aiyaam al-Baidh” yakni “Aiyaam al-Baidh” adalah dengan penghapusan perkataan gandingan (asalnya) “Aiyaam al-Layaali al-Baidh – hari-hari yang malamnya putih kerana bulan mengambang”
adapun jika ia diungkapkan “al-Aiyaam al-Baidh – hari-hari putih” maka setiap hari siang harinya memang putih (terang, tidak seperti malam).
Adapun mengenai (puasa) “Aiyaam al-Baidh” sebagaimana yang ada dalam “Sunan Abi Dawud”.
Baik, puasa “Aiyaam al-Baidh” tidak mungkinkah ada di antara hari-harinya itu hari Sabtu?
Kemungkinan salah satu harinya itu hari Sabtu.
Bukankah Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam telah katakan: “أحبُّ الصيام إلى الله صيام داود: كان يصوم يومًا، ويفطر يومًا، وكان لا يَفرُّ إذا لاقى –
(cara) puasa yang paling dicintai Allaah adalah Puasa (cara Nabi) Dawud, adalah beliau berpuasa satu hari dan tidak berpuasa hari selepasnya (lat-lat) dan
beliau tidak mengelak bila bertemu” yakni baginda Nabi Dawud membahagi-bahagikan atau menjarakkan amalan ketaatan,
kalau baginda berpuasa sepanjang masa (yakni setiap hari)
kemungkinan beliau mengelak ketika bertemu dan setiap ketaatannya dalam berpuasa.
Maka sabda Nabi: “: كان يصوم يومًا، ويفطر يومًا، وكان لا يَفرُّ إذا لاقى –
adalah beliau berpuasa satu hari dan tidak berpuasa hari selepasnya (berlat-lat) dan beliau tidak mengelak bila bertemu.”
Manakah yang lebih berat pada diri sendiri,
anda berpuasa setiap hari atau berselang hari?
Anda puasa setiap hari berturut-turut tentunya lebih berat pada diri anda
maka itulah baiknya Puasa Nabi Dawud.
Baik, jika puasa sehari dan tidak berpuasa sehari berikutnya, bukankah semestinya akan jadi dilakukan puasa pada hari Sabtu?
Tentunya semestinya akan jadi dilakukan puasa pada hari Sabtu.
Lalu bagaimana kamu boleh melarang?
Kami katakan: Kami tidak melarang.
Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam yang melarang.
Larangan ini bukan dari kami. Kalaulah ia dari kami, segala permasalahan ini datang dari kami.
Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam telah menyatakan dengan tegas larangan puasa hari Sabtu.
Lalu ada pula hadis-hadis yang dapat diambil kesimpulan darinya bahawa semestinya berlaku puasa pada hari Sabtu
dan kita telah pelajari dari sudut-sudut petunjuk yang didapatkan dari dalil-dalil (dalam Ilmu Usul Fiqh) bahawa hadis yang “Manthuuq - mengandungi kata-kata Nabi yang nyata secara lisan Nabi menyatakannya”
adalah lebih kuat petunjuknya kepada hukum, berbanding hukum yang disimpulkan melalui kesimpulan
(bukan yang jelas tegas nyata dinyatakan dengan kata-kata baginda),
maka kesimpulan bahawa semestinya dengan puasa berselang hari…puasa “Aiyaam al-Baidh”
dan lainnya adalah kesimpulan semata-mata bahawa semestinya diperbolehkan puasa hari Sabtu
(tidak sekuat hukum Haram atau Terlarang puasa hari Sabtu yang dinyatakan dengan tegas secara lisan oleh Nabi dan bukan kesimpulan)
Ini satu perkara.
Kewajipan kita adalah untuk tidak memperlakukan nas-nas dengan menjadikannya saling bertentangan dan
kewajipan kita adalah mengamalkan nas-nas dengan memadankan dan menyelaraskannya
bukan mengabaikannya,
menolak atau meninggalkan pengamalannya.
Maka adalah menjadi wajib atas diri kita untuk beramal dengan setiap apa yang ada dalam permasalahan ini
berupa hadis-hadis daripada Rasulullaah sollalLaahu ‘alaihi wa sallam.
Sebahagian ‘ulama’ antara mereka,
Syeikhul Islaam Ibn Taimiyah rahimahulLaah dan ini adalah pendapat yang boleh dikira kedua
terbaik
dalam membincangkan perkara ini.Pendapat yang paling lemah adalah yang mengajarkan kepada anda: Puasalah pada hari Sabtu!
Mengulang-ulangnya!
Ada golongan lain yang lebih baik dari yang tadi yang mengatakan:
Puasalah kalian 6 hari dari bulan Syawwaal, bila ditanya ia jawab:
hari Sabtu ada khilaf –
perselisihan pendapat dan pada pandangan saya, diperbolehkan untuk berpuasa hari Sabtu.
Ini lebih baik dari yang tadi.
Ada pihak yang ketiga, yang lebih baik lagi dari yang kedua dan ia adalah pilihan Syeikhul Islaam,
apa pendapat beliau?
Kata beliau (rahimahulLaah): Dilarang puasa hari Sabtu secara tersendiri 1 hari yakni sengaja pilih puasa hari Sabtu sahaja….maka ini terlarang.
Kata Syeikhul Islaam: Tetapi jika anda puasa 1 hari lain bersamaan bergandingan dengannya, sehari sebelum atau sesudahnya, maka diperbolehkan.
Maka di sisi Syeikhul Islaam, puasa pada hari Sabtu terlarang jika secara tersendiri,
maka anda puasalah sehari selepasnya.
Maka ini adalah penyelarasan yang dibuat oleh Syeikhul Islaam di antara kesemua nas-nas yang ada.
Pada kesempatan ini, ingin saya mengambil perhatian anda bahawa hadis Ummu Salamah yang ada di sisi Abu Dawud: “أن النبي -صلى الله عليه وسلم- كان يصوم السَّبت والأحد –
bahawasanya Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam biasa berpuasa hari Sabtu dan Ahad” adalah sebuah hadis Munqathi‘ (terputus sanadnya)
maka perawi yang dikatakan meriwayatkan daripada beliau (Ummu Salamah), sebenarnya tidak mendengar secara langsung daripada beliau.
Sekarang kita berhadapan dengan hadis-hadis yang zahirnya saling bertentangan:
Apabila kita katakan bahawa puasa hari Sabtu diperbolehkan jika kita puasa 1 hari sebelumnya atau sesudahnya,
apakah dengan itu kita telah beramal dengan makna zahir sabda Rasulullaah sollalLaahu ‘alaihi wa sallam: : “لا تصوموا السَّبت إلا فيما افترض عليكم –
Jangan kalian puasa pada hari Sabtu kecuali puasa yang diwajibkan ke atas kalian”?
Ungkapan ini: “إلا فيما افترض عليكم – kecuali puasa yang diwajibkan ke atas kalian” adalah ungkapan yang amat penting.
Sebahagian ikhwah dalam perbincangan mereka katakan:
Wahai Syeikh, tidakkah kalian berpendapat bahawa Solat dilarang pada waktu-waktu terlarang jika ia tanpa sebab?
Jawapan kami: Ya.
Baik, kalau Solat yang ada sebab? Misalnya Tahiyat al-Masjid, sunnat wudhu’ yang mana jika seseorang berwudhu’ pada waktu terlarang Solat selepas Subuh…
apakah kalian berpendapat diperbolehkan Solat?
Jawapan kami: Ya, ia boleh Solat.
Maka mereka pun katakan: Jadikanlah (qiyaskan) Puasa Hari Sabtu seperti (hukum) Solat.
Pada waktu selepas Subuh ada mengenainya dalil larangan.
Maka seseorang keluar untuk berwudhu’ kemudian ia kembali dan ketika itu selepas Solat Fardhu Subuh, lalu ia dirikan Solat Tahiyatul Masjid atau Solat Sunnat Wudhu’, kami berpendapat ini tiada salahnya.
Jadikanlah puasa Sabtu dengan Puasa 6 bulan Syawwaal, puasa Arafah, Puasa ‘Aasyuuraa’ sepertinya.
Jawapan kami: ini ucapan yang baik dan benar,
akan tetapi, padanya terdapat suatu kecuaian terhadap bahagian sabda baginda sollalLaahu ‘alaihi wa sallam: “إلا فيما افترض عليكم
– kecuali puasa yang diwajibkan ke atas kalian” sehingga hendak disamakan permasalahan ini dengan yang itu.
Sebagai perbincangan (perdebatan semata-mata, dimisalkan)
bahawa Nabi sollalLaahu ‘alaihi wa sallam melarang perlaksanaan Solat selepas Subuh dan berkata: “kecuali Tahiyatul Masjid”,
maka anda pergi berwudhu’ lalu datang kepada saya bertanyakan fatwa:
Bolehkah saya solat Sunnat Wudhu’?
Saya akan katakan: Jangan, usah Solat Sunnat Wudhu’.
Kenapa? Kerana adanya pengecualian yang disebutkan secara khusus.
Apa pengecualian tersebut? Nabi katakan: “kecuali Tahiyatul Masjid”.
Bila disebutkan dengan tegas “kecuali Tahiyatul Masjid”,
Sunnat Wudhu’ tidak terangkum.
Maka kedua-dua permasalahan ini tidak sama,
tidak seiras…kerana sabda baginda sollalLaahu ‘alaihi wa sallam: “إلا فيما افترض عليكم
– kecuali puasa yang diwajibkan ke atas kalian”
maka kata-kata baginda: “إلا فيما افترض عليكم – kecuali puasa yang diwajibkan ke atas kalian” suatu pengkhususan yang menjelaskan tidak diperbolehkan puasa hari Sabtu kecuali puasa fardhu atau wajib
manakala yang lain selain fardhu, tidak diperbolehkan.
Oleh kerana itu, yang saya pandang sebagai yang benar:
hari Sabtu adalah hari beribadah kepada Allaah dengan memakan makanan (tidak berpuasa).
Bila saya makan pada hari Sabtu, saya merasakan yang saya beribadah kepada Allaah, Tuhanku.
Bila saya tidak berpuasa pada hari Sabtu,
saya bersarapan atau makan tengahari,
sedang saya makan itu,
saya rasakan saya dikira sedang beribadah kepada Allaah subhaanahu wa ta’aalaa.
Allaah yang mengajarkan: seperti halnya anda makan pada hari Sabtu, begitu juga Ahad dan Isnin anda makan –
agar lebih kuat untuk beribadah kepada Allah, cuma bezanya, hari Sabtu ada maknanya yang khas bagi Ku, kerana adanya hadisnya.
Maka apabila kita mengamalkan secara zahirnya kesemua nas-nas:
maka tidak sepatutnya kita mengabaikan petunjuk yang dinyatakan secara “manthuuq” ,
bila kita katakan yang terlarang puasa Sabtu secara tersendiri.
Kita, dengan itu, telah mengabaikan petunjuk “manthuuq” yang ada pada hadis.
Dengan itu, dan inilah yang ingin saya sampai padanya dan saya cukupkan dengannya dan saya tidak mahu berbual panjang
– kita telah sampai ke sekarang pada sesuatu iaitu:
Kita sedang berhadapan dengan 2 “Manthuuq” yang saling bertentangan;
Puasa berselang hari, Puasa “Aiyaam al-Baidh”, Puasa 6…
berhadapan dengan nas yang memperbolehkan dan berhadapan nas yang melarang,
nas yang mengizinkan menggalakkan dan nas yang melarang yang merbahaya.
Apabila nas-nas saling bertentangan dan kita tidak dapat memadankan dan menyelaraskan yang nyata menurut zahirnya,
maka kita tiada pilihan lain kecuali untuk kembali kepada Qaidah Prinsip ahli ilmu –
yakni al-Qawaa’id prinsip-prinsip Usul Fiqh –
dalam mentarjiehkan dan kita tiada pilihan lain dalam mentarjieh kecuali untuk kita katakan:
“(nas) yang mengandungi ancaman diutamakan daripada (nas) yang memperbolehkan
” ancaman itu adalah larangan: “لا تصوموا السَّبت – Jangan kalian puasa pada hari Sabtu”
yang memperbolehkan: adalah apa yang ada dalam nas hadis-hadis yang lain.
Lantaran itu saya ulangi lagi dan saya katakan:
Sanggahan, penolakan, pengingkaran dan pembuangan dan tikaman (cemuhan terhadap peribadi)
terhadap orang-orang yang melarang puasa hari Sabtu,
adalah bukti kurangnya taufiq petunjuk Allaah yang dikecapi (orang yang melakukan itu semua tadi)…..
Baarakallaahufeekum.
Terjemahan "Aboo Hafiy"
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.